Bintang merupakan bebola jisim gas yang terbentuk disebabkan tarikan graviti mereka sendiri. Cahaya bintang terhasil dari tindakbalas pelakuran nuklear di bahagian teras, di mana unsur hidrogen digabungkan untuk menghasilkan unsur helium, gelombang eletromagnetik, dan tenaga. Permulaan kelahiran bintang dipercayai daripada kepulan gas hidrogen dan debu angkasa yang membentuk Nebula.
Apabila debu dan gas berkumpul, daya gravitinya meningkat dan menarik lebih banyak debu dan gas daripada Nebula sehingga termampat dan membentuk bebola gas. Apabila bebola gas mempunyai daya tarikan graviti yang tinggi, tekanan meningkat menghasilkan suhu tinggi sehingga berlaku pelakuran nuklear gas hidrogen yang membebaskan helium, haba, dan cahaya.
Bintang terdekat dengan bumi adalah matahari pada jarak purata 149,680,000 kilometer, diikuti oleh Proxima Centauri dalam constellation Centaurus kira-kira empat tahun cahaya. Bintang dikelaskan melalui melalui spektrum cahaya yang dihasilkan yang menentukan warna nyalaan bintang, suhu, kecerahan, saiz, jisim, ketumpatan, dan komposisi kimianya.
Kecerahan bintang dibahagi kepada 1 hingga 6, dimana satu ialah bintang paling cerah, dan 6 sebagai bintang paling malap. Terdapat juga kecerahan yang diukur secara mutlak yang dikenali sebagai magnitud mutlak antara +26.0 sehingga -26.5. Saiz bintang menurut turutan kecil ke besar adalah Neutron < Kerdil (0.01 saiz Matahari) < matahari < Raksaksa < Superraksaksa bersaiz 400 kali matahari). Ketumpatan bintang bergantung kepada saiz bintang yang memberi kesan kepada graviti bintang.
Kandungan kimia bintang dikenalpasti menggunakan peralatan spektroskop. Apabila kandungan hidrogen di teras bintang kehabisan, teras bintang mengecut dan membebaskan banyak haba dan memanaskan lapisan luar bintang. Lapisan luar bintang yang masih banyak hidrogen mengembang dan bertukar warna merah dan dikenali sebagai bintang raksaksa merah yang boleh mencapai 100 kali saiz matahari sebelum membentuk bintang kerdil putih. Sekiranya bintang tersebut bersaiz lebih besar daripada matahari, ia akan membentuk superraksaksa merah. Super raksaksa merah ini kemudiannya membentuk Nova atau Super nova dan kemudiannya membentuk bintang neutron atau Lohong gelap.